##Kisah sedih ini berlaku kpd my sister best frenz, ms diorang bljr kt unimas dulu, diorang grad taun 1998(x silap aku)....my sister citer yg Aljannah ni dulu mmg warak, pakai tudung labuh, slalu kejut dia solat subuh, p masjid...semoga kisah ini jd pengajaran utk gadis2 d luar sana...
Mainan cinta Ustaz Zul
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
KLANG: Penemuan warkah cinta ditulis sendiri ‘Ustaz Zul’ yang diberkas polis Terengganu awal pagi Rabu lalu, membongkar kegiatan penjenayah terbabit menggoda serta memukau gadis muda sebelum diperalatkan untuk kepentingannya termasuk mengikis wang mereka.
Dalam pendedahan terbaru, Ustaz Zul didakwa pernah menggunakan ilmu pengasih untuk memikat seorang doktor wanita, Al Jannah Mohd Mingan, 30, sebelum melarikannya bersama kereta dimiliki sejak setahun lalu.
Lebih malang, lelaki yang mengetuai ajaran sesat ‘Jemaah Usul’ itu tidak sekadar mengikis harta doktor berkenaan, malah turut menggunakan maklumat peribadi mangsa untuk meminjam wang bernilai lebih RM50,000 dengan beberapa bank.
Dipercayai, wang itu digunakan Ustaz Zul untuk menggerakkan aktiviti kumpulan ajaran sesat terbabit selain kepentingan peribadinya.
Bapa doktor berkenaan, Mohd Mingan Tasman, 59, yang ditemui Harian Metro semalam berkata, kehilangan anaknya dipercayai ada hubung kait dengan pergerakan dan ajaran sesat lelaki terbabit.
Menurutnya, Al Jannah sebelum ini bertugas sebagai doktor di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas menamatkan pengajian perubatan di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).
“Dia yang tinggal di asrama PPUM biasanya pulang ke rumah kami di Jalan Kapar, Klang, seminggu sekali untuk menziarahi saya dan ibunya, Markamah Yusop, 57.
“Bagaimanapun, sebaik saya dan isteri pulang menunaikan fardu haji Februari tahun lalu, sikap Jannah banyak berubah dan kerap murung,” katanya.
Menurutnya, dia dan isteri cuba bertanyakan masalah dihadapi anaknya, namun Jannah hanya menangis tanpa sebab tetapi memberitahu tiada apa-apa berlaku.
“Dia kemudian kembali semula ke PPUM untuk bertugas sebelum ghaib begitu saja. Saya cuba menghubungi telefon bimbitnya, tapi tidak dijawab.
“Kami segera ke asramanya, namun terkejut apabila diberitahu rakan-rakannya Jannah sudah berhenti kerja secara mendadak,” katanya.
Mohd Mingan kemudian berusaha mencari Jannah sebelum diberitahu dia pernah dilihat menyewa di sebuah rumah teres di Puncak Alam dekat Kuala Selangor.
“Melalui maklumat, Jannah dilihat tinggal di rumah terbabit yang menjadi markas pengikut Ustaz Zul bersama beberapa lelaki dikenali sebagai Meor dan Fauzi.
“Saya pergi beberapa kali pergi ke rumah itu, namun gagal menemui Jannah yang dikatakan sudah dikahwinkan secara sulit,” katanya.
Dia yang sukar mempercayai khabar itu cuba mencari Jannah di sekitar Puncak Alam sebelum terserempak dengan pengikut kanan Ustaz Zul dikenali sebagai Meor.
“Saya bertanya kepada Meor sama ada dia mengenali Jannah dan meminta simpati supaya anak saya itu dikembalikan. Malah jika dia sudah berkahwin, saya sanggup mewalikannya semula di pejabat agama.
“Bagaimanapun, lelaki terbabit menengking saya dan berkata itu hak dan pilihan Jannah yang sudah dewasa. Saya sebagai bapa disuruh tidak campur tangan,” katanya.
Menurutnya, kata-kata lelaki terbabit menyebabkan dia ‘naik angin’ dan membuat laporan di Balai Polis Jeram pada 28 Februari
“Susulan itu saya pergi ke pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk menyemak rekod perkahwinan Jannah, namun tidak menemuinya.
“Saya dan isteri berulang-alik pergi ke Jalan Mahkota Impian, Puncak Alam, bagi menjejaki Jannah, namun hampa. Bagaimanapun, misteri kehilangannya terjawab apabila kami berjaya masuk ke dalam rumah didiami Jannah,” katanya.
Mingan berkata, dengan bantuan pemilik rumah sewa terbabit, dia dan isteri menemui beberapa bukti kewujudan Jannah di situ.
“Isteri saya yang memeriksa laci almari di bilik tidur menemui dua surat tulisan tangan tertera nama anaknya yang dihantar Ustaz Zul.
“Isi kandungan surat cinta itu dihantar Ustaz Zul kepada Jannah yang cuba menggoda dan memujuk rayunya. Bahasa surat terbabit yang digarap indah digunakan Ustaz Zul bagi memujuk Jannah meminjamkan wang RM1,500,” katanya.
“Saya terkejut apabila lelaki itu mengakhiri suratnya dengan perkataan ‘loving you every minute, every second’ (menyintaimu setiap minit, setiap saat).
“Saya turut tergamam apabila Ustaz Zul yang menggunakan nama Abu dalam surat itu menyatakan akan membuat keputusan siapakah individu yang patut Jannah kahwini,” katanya.
Menurutnya, kehilangan Jannah menyebabkan isterinya yang menghidap sakit jantung terpaksa dimasukkan ke wad selama seminggu.
“Walaupun sudah setahun berpisah, kami suami isteri tak pernah berputus asa berikhtiar untuk menyelamatkan Jannah,” katanya sambil menitis air mata.
ASEAN bentuk pasaran bersepadu mulai tahun depan
10 years ago